Sejarah Penubuhan PN

Logo rasmi Kerajaan Campuran, Kerajaan Perikatan Nasional sebelum didaftarkan sebagai parti politik rasmi pada bulan Ogos 2020Logo rasmi Parti Perikatan Nasional selepas didaftarkan sebagai parti politik rasmi pada Ogos 2020.

[10]

Parti Perikatan Nasional telah didaftarkan pada 7 Ogos 2020. Ia didaftarkan di bawah Kategori Politik, selaras peruntukan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335)[11]. Ia terdiri daripada empat buah parti komponen iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan dua parti politik tempatan di Sabah iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah) dan Parti Progresif Sabah (SAPP)[12].

Pada peringkat awal, Kongres India Malaysia (MIC) juga terlibat dalam pembentukan parti ini[13]. Namun pada 27 Ogos 2020, MIC mengambil keputusan untuk menarik diri sebagai menuruti keputusan Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) yang disertai MIC[14].

UMNO tidak menyertai Parti Perikatan Nasional kerana telah menjadi parti komponen dalam Barisan Nasional bersama Persatuan Cina Malaysia (MCA), Kongres India Malaysia (MIC) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Gabungan Parti Sarawak dan Parti Bersatu Sabah juga hanya berminat untuk menjadi parti yang menyokong pembentukan sebuah kerajaan campuran di peringkat Persekutuan Malaysia. Persetujuan oleh Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak dan Parti Bersatu Sabah yang bersama-sama menyokong Parti Perikatan Nasional telah membentuk kerajaan campuran pertama di peringkat Persekutuan Malaysia.

Parti Gerakan Rakyat Malaysia telah diterima sebagai parti komponen kelima terbaharu dalam Parti Perikatan Nasional setelah mendapat sokongan penuh Majlis Tertinggi Parti Perikatan Nasional. Pengerusi Parti Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyerahkan surat pernyataan penerimaan parti tersebut di Perdana Putra kepada Presidennya, Dominic Lau Hoe Chai pada 11 Februari 2021, sehari sebelum perayaan Tahun Baru Cina.[15]

Parti Liberal Demokratik telah menyatakan hasrat untuk membuat permohonan untuk menjadi salah satu daripada parti komponen dalam Perikatan Nasional pada 28 Mac 2021 lalu.[16] Bagaimanapun, Pengerusi Perikatan Nasional Sabah, Hajiji Noor berkata akan menimbangkan dengan sewajarnya permohonan tersebut.[17]

Perikatan Nasional terus menjadi parti utama dalam pembentukan kerajaan baharu Malaysia yang dipimpin oleh Perdana Menteri Malaysia, Ismail Sabri Yaakob dari Barisan Nasional. Beliau merupakan pemimpin pertama yang bukan dari kalangan Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO yang dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ketika menjawat jawatan sebagai Naib Presiden UMNO.

Nama beliau telah dicalonkan oleh Perdana Menteri Malaysia ke-8 dan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menggantikan tempat beliau yang telah kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat Malaysia. Ismail Sabri juga merupakan Timbalan Perdana Menteri Malaysia ke-13 ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-8 dari tahun 2020 hingga tahun 2021 lalu.[18]

Berkaitan